Selamat Datang ke blog PSS SMK Seri Nibong, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Khamis, 19 Januari 2012

Rancang azam 2012

fadzlena@bharian.com.my
2011/12/29

APA azam tahun baru anda? Itu antara persoalan ‘wajib’ ditanya menjelang tahun baru. Bagi yang sememangnya mempunyai hala tuju dalam hidup, soalan itu tidak sukar dijawab, namun bagi yang tidak mempunyai sebarang perancangan dan sekadar menyerah diri kepada takdir, tentu terkial-kial juga memikirkan jawapan bersesuaian.

Seorang teman pernah bertanya mengapa perlu seseorang itu mempunyai azam saban tahun. Bagi saya, dengan menetapkan azam, kita sebenarnya menyediakan perancangan bagi perjalanan hidup ini. Kebanyakan insan yang kini berjaya dalam hidup mereka, semuanya bermula dengan satu impian yang dijadikan azam untuk dicapai bagi sesuatu tempoh.
Ada yang meletakkan perancangan bagi jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Dengan mempunyai perancangan yang sistematik itu, lebih memudahkan kita untuk menentukan apa yang perlu dilakukan bagi mencapai impian berkenaan.
Itu juga yang perlu dilakukan setiap insan yang bergelar mahasiswa. Inilah waktu terbaik jika ingin menetapkan azam anda. Mulakan dengan apa yang anda ingin lakukan selepas bergraduasi kelak. Jika anda impikan untuk makan gaji, pastikan kursus yang dipilih bakal memberi laluan mudah untuk memperoleh kerja kelak.

Tetapi, jika ada yang ingin bergelar usahawan, sebaiknya cuba berjinak-jinak dengan bidang keusahawanan sejak di peringkat siswazah lagi. Hari ini kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) awam (IPTA) sudah mempunyai bidang atau kelab keusahawanan bagi menggalakkan penuntut bekerja sendiri apabila bergraduasi nanti.

Kejayaan beberapa alumni IPT yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan diusahakan sejak bergelar siswazah dan kini mempunyai syarikat kukuh antara bukti bahawa perancangan rapi mampu membuahkan hasil lumayan.

Sehubungan itu, diharap setiap penuntut bukan saja memanfaatkan ruang yang diberikan sebagai siswazah di IPT, bahkan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk berjaya selepas bergelar graduan kelak.
Mulakan dengan azam tahun baru dan aturlah perancangan masa depan anda dengan teliti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan