Selamat Datang ke blog PSS SMK Seri Nibong, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Khamis, 19 Januari 2012

Novelis idola
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/01/01

pix_gal0
Ain Maisarah kecapi kejayaan hasil gabungan bakat, bijak pikat peminat

BILANGAN peminat setianya di laman Facebook saja hampir mencecah 40,000 orang manakala pengikut blognya pula kira-kira 25,000 orang. Bukan calang-calang orang mampu mengumpulkan pengaruh seramai itu jika mereka bukan bergelar ahli politik, artis hiburan atau blogger popular. Namun, inilah pencapaian novelis wanita popular, Ain Maisarah Daliman, 29.
Sejak tahun pertama menyertai arena penulisan kira-kira tiga tahun lalu, kehadiran Ain Maisarah sudah memberi impak. Mungkin disebabkan konsep karya penulisannya berbeza dengan karya sedia ada. Gaya penulisan bersahaja dengan tema cerita yang dekat dengan jiwa remaja masa kini membuatkan novel pertamanya berjudul ‘Aku Mahu Popular’ mendapat sambutan luar biasa sehingga diulang cetak sembilan kali.
Naskhah berkisar kehidupan remaja di Sekolah Sri Bangsar yang mahu popular seperti kumpulan pelajar perempuan paling masyhur di sekolah itu menarik perhatian pembaca muda yang terus setia mengikuti perkembangan cerita yang diterbitkan dalam siri Aku Mahu, antaranya Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli, Aku Mahu Ke New York dan sebagainya.

Hebatnya penangan Ain Maisarah sehinggakan 18 novel tulisannya (baik secara solo dan kolaborasi) sudah dipasarkan dengan hasil jualan difahamkan setakat ini sudah mencecah kira-kira RM5 juta!

Ketika menyelami isi hati penulis muda ini, Ain Maisarah mengakui kerjaya penulis sepenuh bukanlah cita-cita asal, sebaliknya pendidik yang menjadi pilihan. Malah, graduan Ijazah Sarjana Muda TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) Universiti Darul Iman itu berkata, semuanya bermula apabila berpeluang menulis cerpen bagi isi kandungan langganan telefon bimbit sebuah syarikat telekomunikasi tempatan sewaktu di tahun akhir pengajian.

Bayaran agak lumayan bagi cerpen 14 muka surat dan muat turun yang boleh dikatakan tinggi daripada pengguna talian komunikasi berkenaan, sedikit sebanyak membuka minatnya bergiat lebih serius sebagai novelis.
Walaupun menerima pengiktirafan pelajar terbaik TESL, Ain Maisarah tidak meneruskan cita-cita asal enjadi pendidik sebaliknya mengambil keputusan bergelar novelis sepenuh masa. Pilihannya atas dorongan suami yang juga pengurus kerjayanya, Syaizul Amal Zulkaffli, 33, yang melihat potensi Ain Maisarah untuk diketengahkan sebagai novelis berpengaruh.

“Saya membuat perjanjian persefahaman dengan suami, kalau percubaan saya dalam bidang penulisan novel tidak menampakkan hasil, saya akan kembali kepada kerjaya sebagai pendidik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sudah tertulis rezeki Ain Maisarah dalam bidang penulisan dan usahanya menampakkan hasil apabila tiga novel pertamanya menerima royalti mencecah RM80,000.

“Saya fikir, mengapa tidak saya teruskan saja kerjaya yang fleksibel ini, menulis dari rumah dan menerima anggaran pendapatan seperti pengurus,” katanya.

Kejayaan dalam tempoh singkat dikecapi Ain Maisarah bukan sekadar bersandarkan kisah novel tulisannya itu tetapi strategi perniagaan dan prinsip diamalkan bersama suami yang sebegitu serius dalam kerjaya sebagai novelis.

Mereka menganggap bidang penulisan ini sebagai suatu perniagaan dan produk utamanya adalah novel yang seharusnya dipasarkan secara serius dan berterusan. Malah nama Ain Maisarah itu turut dijadikan suatu jenama dan mereka giat membuat inovasi, memperkembangkan variasi produk, meluaskan pasaran dan memanfaatkan pelbagai platform bagi tujuan promosi.

Buktinya, daripada hanya novel remaja, Ain Maisarah berjaya mewujudkan komuniti remaja secara online yang aktif. Sekolah ciptaannya seperti dalam siri Aku Mahu iaitu Sekolah Sri Bangsar (SSB) ditubuhkan secara online sudah pun menerima pendaftaran kira-kira lebih 20,000 ‘pelajar’ yang menjadikan laman web ini sebagai ruang berinteraksi, sama ada berbincang mengenai cerita novel Ain Maisarah ataupun berbual dan bertukar pandangan mengenai isu berkaitan kehidupan masing-masing sebagai remaja. Peminat juga boleh mendapatkan cenderahati seperti pin lencana, buku tulis, rantai kunci dan buletin SSB.

Kemesraan hubungan Ain Maisarah dan peminatnya ibarat satu jambatan yang merancakkan lagi popularitinya. Selain berinteraksi secara aktif menerusi laman Facebook Ain Maisarah Novelis dan blog ainmaisarah.blogspot.com, beliau juga rajin menemui peminatnya di pesta atau pameran buku serta di sekolah.

“Saya menjelajah dari sekolah ke sekolah untuk bersua lebih dekat dengan pembaca dan pelajar lain. Ia bukan sekadar strategi pemasaran dan promosi, tetapi memberi peluang mendekati peminat.

“Tahun lalu saja, saya mengunjungi 53 buah sekolah, bercerita mengenai kerjaya Ain Maisarah kepada pelajar di perhimpunan serta memberi bengkel penulisan secara percuma kepada mereka,” katanya.

Bagi memperluaskan sasaran pembaca kepada kumpulan yang lebih dewasa, Ain Maisarah tampil dengan idea menerbitkan siri Impiana yang menampilkan kehidupan beberapa karakter remaja dalam siri Aku Mahu apabila mereka dewasa, menempuh alam percintaan, mencari pasangan hidup serta menjalani alam rumah tangga.

Idam jutawan muda

“SAYA mahu buktikan kepada masyarakat kerjaya sebagai penulis juga mampu memberi pendapatan lumayan dan mampu bergelar jutawan seperti mana penulis tersohor di luar negara.”

Ringkas tapi mendalam kata-kata diluahkan Ain Maisarah bagi menunjukkan betapa beliau memandang serius kerjaya pilihannya itu. Usahanya turut dipermudahkan hasil bantuan lapan orang penulis bersama dan akan menambah lagi enam lagi penulis mulai tahun ini. Mereka diberi gaji bulanan dan juga perkongsian royalti.

Isteri muda ini juga mengakui kepentingan kerjasama pihak penerbit, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd serta barisan pembaca dan peminat setianya yang turut melengkapi kejayaannya.

Namun, paksi kejayaannya, kata Ain Maisarah, hasil gabungan dengan suami tercinta, Syaizul Amal Zulkaffli, melakar idea dan mencuba pendekatan sama penulis berpengaruh yang sudah membina empayar dalam dunia penulisan.

“Saya bertuah kerana mampu bekerja sama dengan suami. Jadi tidak timbul soal tidak aman yang diakibatkan hal kerja. Malah, beliau yang banyak memberi galakan dan memberi sedikit kelonggaran kepada saya untuk kerja rumah tangga.

“Setakat ini, ketika masih belum mempunyai cahaya mata lagi, dapatlah saya bekerja begini. Namun bila ada anak nanti, terpaksalah saya membahagikan waktu dengan sebaik-baiknya,” akhiri Ain Maisarah.

Bagi Syaizul Amal, beliau sudah lama melihat potensi bakat menulis isterinya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu.

“Bakatnya ada potensi untuk diperluaskan. Saya berkongsi idea dengannya mengenai hala tuju kerjaya ini dan cara memanfaatkannya menerusi pelbagai saluran berkaitan,” kata usahawan yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran dan perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan