Warga SMK Seri Nibong dijemput untuk beramai-ramai ke pusat sumber sekolah untuk bersama-sama menjayakan program "Jom Pi PSS". Bersempena sambutan tahun baru cina 2013, pusat sumber menawarkan tawaran yang cukup menarik kepada peminjam buku di pss, anda berpeluang untuk menarik satu ang pow daripada bekas yang disediakan. Sekiranya anda berjaya, hadiah yang menarik akan diberikan, manakala yang tidak berjaya anda akan menerima sagu hati. Tawaran ini terbuka kepada semua warga SMK Seri Nibong bermula 18 Februari sehingga 1 Mac (2 minggu). Kepada pelajar yang berjaya, anda boleh menuntut hadiah tersebut di PSS pada 1 Mac 2013.
Selamat Datang ke blog PSS SMK Seri Nibong, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sekolah Kluster Kecemerlangan.
Isnin, 25 Februari 2013
MTQ 2013 PERINGKAT SEKOLAH......
Alhamdulillah, Acara majlis tilawah Al-Quran 2013 bertempat di SMK Seri Nibong pada hari Jumaat 22 Febuari bersamaan 11 Rabiulakhir 1434 hijrah, telah selamat dilangsungkan. Pusat sumber mengucapkan taniah kepada pihak penganjur kerana berjaya melangsungkan acara tersebut dan taniah juga kepada para pemenang acara-acara yang dipertandingkan. Kepada yang tidak berjaya cubalah lagi pada masa yang akan datang " kegagalan bukan punca penghalang kejayaan, kalah dan kegagalan adalah satu langkah kejayaan". Selamat berjaya di peringkat daerah kepada pemenang-pemenang, kami senantiasa mendoakan kejayaan anda..
Jumaat, 11 Januari 2013
2013...
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia
2013 telah 11 hari berlalu.....apa harapan kita untuk tahun ini? Yang pasti apa yang terlintas di hati kita adalah kejayaan. Tapi bagaimana ingin mencapainya, itulah yang sebenarnya yang perlu kita fikirkan dan bertindak ke arah mencapainya. Barulah setiap tahun yang berlalu kita dengan sentiasa dengan azam baru untuk tahun berikutnya, bukan azam yang sama setiap tahun kerana azam yang lama masih belum tercapai.
Sebelum mengundur diri, ucapan Selamat Tahun Baru 2013 (rasanya belum terlambat lagi) buat semua pembaca blog dan moga azam serta harapan kita akan tercapai hendaknya.
Isnin, 27 Februari 2012
33 Ciri Pelajar Cemerlang
1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.
2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.
4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).
6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.
7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab’.
11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.
15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.
19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.
22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
Dipetik dari : tipsbelajar.wordpress.com
UJIAN PRESTASI 1
Selamat menempuh Ujian Prestasi 1
28 Februari 2012 ~ 1 Mac 2012
Semoga anda berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.
28 Februari 2012 ~ 1 Mac 2012
Semoga anda berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.
Isnin, 23 Januari 2012
Khamis, 19 Januari 2012
Novelis idola
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/01/01
BILANGAN peminat setianya di laman Facebook saja hampir mencecah 40,000 orang manakala pengikut blognya pula kira-kira 25,000 orang. Bukan calang-calang orang mampu mengumpulkan pengaruh seramai itu jika mereka bukan bergelar ahli politik, artis hiburan atau blogger popular. Namun, inilah pencapaian novelis wanita popular, Ain Maisarah Daliman, 29.
Sejak tahun pertama menyertai arena penulisan kira-kira tiga tahun lalu, kehadiran Ain Maisarah sudah memberi impak. Mungkin disebabkan konsep karya penulisannya berbeza dengan karya sedia ada. Gaya penulisan bersahaja dengan tema cerita yang dekat dengan jiwa remaja masa kini membuatkan novel pertamanya berjudul ‘Aku Mahu Popular’ mendapat sambutan luar biasa sehingga diulang cetak sembilan kali.
Naskhah berkisar kehidupan remaja di Sekolah Sri Bangsar yang mahu popular seperti kumpulan pelajar perempuan paling masyhur di sekolah itu menarik perhatian pembaca muda yang terus setia mengikuti perkembangan cerita yang diterbitkan dalam siri Aku Mahu, antaranya Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli, Aku Mahu Ke New York dan sebagainya.
Hebatnya penangan Ain Maisarah sehinggakan 18 novel tulisannya (baik secara solo dan kolaborasi) sudah dipasarkan dengan hasil jualan difahamkan setakat ini sudah mencecah kira-kira RM5 juta!
Ketika menyelami isi hati penulis muda ini, Ain Maisarah mengakui kerjaya penulis sepenuh bukanlah cita-cita asal, sebaliknya pendidik yang menjadi pilihan. Malah, graduan Ijazah Sarjana Muda TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) Universiti Darul Iman itu berkata, semuanya bermula apabila berpeluang menulis cerpen bagi isi kandungan langganan telefon bimbit sebuah syarikat telekomunikasi tempatan sewaktu di tahun akhir pengajian.
Bayaran agak lumayan bagi cerpen 14 muka surat dan muat turun yang boleh dikatakan tinggi daripada pengguna talian komunikasi berkenaan, sedikit sebanyak membuka minatnya bergiat lebih serius sebagai novelis.
Walaupun menerima pengiktirafan pelajar terbaik TESL, Ain Maisarah tidak meneruskan cita-cita asal enjadi pendidik sebaliknya mengambil keputusan bergelar novelis sepenuh masa. Pilihannya atas dorongan suami yang juga pengurus kerjayanya, Syaizul Amal Zulkaffli, 33, yang melihat potensi Ain Maisarah untuk diketengahkan sebagai novelis berpengaruh.
“Saya membuat perjanjian persefahaman dengan suami, kalau percubaan saya dalam bidang penulisan novel tidak menampakkan hasil, saya akan kembali kepada kerjaya sebagai pendidik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sudah tertulis rezeki Ain Maisarah dalam bidang penulisan dan usahanya menampakkan hasil apabila tiga novel pertamanya menerima royalti mencecah RM80,000.
“Saya fikir, mengapa tidak saya teruskan saja kerjaya yang fleksibel ini, menulis dari rumah dan menerima anggaran pendapatan seperti pengurus,” katanya.
Kejayaan dalam tempoh singkat dikecapi Ain Maisarah bukan sekadar bersandarkan kisah novel tulisannya itu tetapi strategi perniagaan dan prinsip diamalkan bersama suami yang sebegitu serius dalam kerjaya sebagai novelis.
Mereka menganggap bidang penulisan ini sebagai suatu perniagaan dan produk utamanya adalah novel yang seharusnya dipasarkan secara serius dan berterusan. Malah nama Ain Maisarah itu turut dijadikan suatu jenama dan mereka giat membuat inovasi, memperkembangkan variasi produk, meluaskan pasaran dan memanfaatkan pelbagai platform bagi tujuan promosi.
Buktinya, daripada hanya novel remaja, Ain Maisarah berjaya mewujudkan komuniti remaja secara online yang aktif. Sekolah ciptaannya seperti dalam siri Aku Mahu iaitu Sekolah Sri Bangsar (SSB) ditubuhkan secara online sudah pun menerima pendaftaran kira-kira lebih 20,000 ‘pelajar’ yang menjadikan laman web ini sebagai ruang berinteraksi, sama ada berbincang mengenai cerita novel Ain Maisarah ataupun berbual dan bertukar pandangan mengenai isu berkaitan kehidupan masing-masing sebagai remaja. Peminat juga boleh mendapatkan cenderahati seperti pin lencana, buku tulis, rantai kunci dan buletin SSB.
Kemesraan hubungan Ain Maisarah dan peminatnya ibarat satu jambatan yang merancakkan lagi popularitinya. Selain berinteraksi secara aktif menerusi laman Facebook Ain Maisarah Novelis dan blog ainmaisarah.blogspot.com, beliau juga rajin menemui peminatnya di pesta atau pameran buku serta di sekolah.
“Saya menjelajah dari sekolah ke sekolah untuk bersua lebih dekat dengan pembaca dan pelajar lain. Ia bukan sekadar strategi pemasaran dan promosi, tetapi memberi peluang mendekati peminat.
“Tahun lalu saja, saya mengunjungi 53 buah sekolah, bercerita mengenai kerjaya Ain Maisarah kepada pelajar di perhimpunan serta memberi bengkel penulisan secara percuma kepada mereka,” katanya.
Bagi memperluaskan sasaran pembaca kepada kumpulan yang lebih dewasa, Ain Maisarah tampil dengan idea menerbitkan siri Impiana yang menampilkan kehidupan beberapa karakter remaja dalam siri Aku Mahu apabila mereka dewasa, menempuh alam percintaan, mencari pasangan hidup serta menjalani alam rumah tangga.
Idam jutawan muda
“SAYA mahu buktikan kepada masyarakat kerjaya sebagai penulis juga mampu memberi pendapatan lumayan dan mampu bergelar jutawan seperti mana penulis tersohor di luar negara.”
Ringkas tapi mendalam kata-kata diluahkan Ain Maisarah bagi menunjukkan betapa beliau memandang serius kerjaya pilihannya itu. Usahanya turut dipermudahkan hasil bantuan lapan orang penulis bersama dan akan menambah lagi enam lagi penulis mulai tahun ini. Mereka diberi gaji bulanan dan juga perkongsian royalti.
Isteri muda ini juga mengakui kepentingan kerjasama pihak penerbit, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd serta barisan pembaca dan peminat setianya yang turut melengkapi kejayaannya.
Namun, paksi kejayaannya, kata Ain Maisarah, hasil gabungan dengan suami tercinta, Syaizul Amal Zulkaffli, melakar idea dan mencuba pendekatan sama penulis berpengaruh yang sudah membina empayar dalam dunia penulisan.
“Saya bertuah kerana mampu bekerja sama dengan suami. Jadi tidak timbul soal tidak aman yang diakibatkan hal kerja. Malah, beliau yang banyak memberi galakan dan memberi sedikit kelonggaran kepada saya untuk kerja rumah tangga.
“Setakat ini, ketika masih belum mempunyai cahaya mata lagi, dapatlah saya bekerja begini. Namun bila ada anak nanti, terpaksalah saya membahagikan waktu dengan sebaik-baiknya,” akhiri Ain Maisarah.
Bagi Syaizul Amal, beliau sudah lama melihat potensi bakat menulis isterinya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu.
“Bakatnya ada potensi untuk diperluaskan. Saya berkongsi idea dengannya mengenai hala tuju kerjaya ini dan cara memanfaatkannya menerusi pelbagai saluran berkaitan,” kata usahawan yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran dan perniagaan.
Langgan:
Catatan (Atom)